Sejak tahun 2016, kerjasama antara UMPSA dan LPNM terjalin melalui projek Geran Program Pemindahan Ilmu di bawah program pendanaan Kementerian Pendidikan Tinggi berkenaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di ladang nanas oleh sekumpulan penyelidik dari program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang kini berada di Fakulti Sains & Teknologi Industri. Terdapat seramai 22 orang penyelidik yang terlibat dengan penyelidikan berkaitan dengan nanas dan memperoleh dana penyelidikan sama ada di peringkat universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi atau industri yang mana keseluruhan penyelidikan tersebut bernilai RM 2,043,005.00 sejak tahun 2015.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneroka bidang industri nanas melalui kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan termeterainya Memorandum Perserfahaman (MoU) hari ini berkaitan penyelidikan, pembangunan dan pemerkasaan teknologi dalam industri nanas di Malaysia. Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh menandatangani MoU dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah LPNM, Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib bin Ali yang berlangsung di Dewan Bankuet UMPSA Pekan.
Kerjasama ini juga diharapkan dapat membuka ruang lebih luas kepada UMPSA melalui Pusat Penyelidikan Bioaromatik dalam mengkoordinasi kerjasama bersama LPNM dan rakan strategik serta usahawan-usahawan di bawah bimbingan LPNM bagi memanfaatkan kedua-dua pihak dalam bidang latihan, penyelidikan dan inovasi, penulisan, penerbitan, konsultasi dan kumpulan pemikir mengenai teknologi penanaman nanas, hasil sisa nanas dan produk inovasi lain.
Hadir sama Pengarah LPNM Pahang, En. Azhan Austad, Pengarah LPNM Kelantan, Muhammad Fauzan Mohd, dan Pengarah Urusan Oked Kesuma Sdn Bhd, Dr. Zul Hasimi bin Harun.
Turut sama Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan, Profesor ChM. Dr. Chong Kwok Feng, Dekan Fakulti Sains & Teknologi Industri, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dan Pengarah Pusat Penyelidikan Bioaromatik, Profesor Madya Ts. Dr. Roshahliza M. Ramli.